Saturday, May 29, 2010

MEMPAHIT PENAWAR DIABETES & DARAH TINGGI


LAMAN HIJAU - SAJI.
Oleh : Azizah Ismail
Date : OKTOBER 2002
Foto : Zakaria Idris
Penghargaan : Hj Jelani Baharudin, Taman Herba Rusaqa.

BUMI Malaysia kaya dengan beraneka jenis tumbuhan dan herba yang bernilai tinggi pada manusia. Kebanyakan daripada tumbuh-tumbuhan liar itu mempunyai banyak kegunaan untuk menjaga kesihatan.
Ada yang dimakan sebagai ulam-ulaman dan tidak kurang yang dijadikan ubat-ubatan bagi mengubati pelbagai jenis penyakit.Antaranya termasuklah sejenis tumbuhan liar dikenali sebagai mempahit atau disebut juga blo.
Dengan ketinggian antara tiga hingga empat meter, pokok mempahit berbatang lurus seperti pohon tongkat ali dan bercabang dibahagian hujung, di mana terdapat ranting-ranting yang mengeluarkan daun yang tersusun seperti daun kari ataupun daun mambu.
Ranting-ranting itu juga mengeluarkan buah yang kecil saiznya seperti biji lada tetapi mempunyai rasa yang amat pahit, lantaran itu dikenali juga sebagai lada pahit. Buah berkenaan berwarna hijau semasa muda tetapi bertukar menjadi hitam setelah masak.
Mempahit mudah tumbuh setelah buahnya yang masak diterbangkan oleh burung ke sana ke mari di kawasan semak. Tumbuhan itu bagaimanapun boleh disemai dengan menggunakan biji daripada buahnya yang masak.
Kaedah paling berkesan ialah dengan menabur biji mempahit ke atas tanah dan disiram dua kali sehari sehingga bertunas dan mengeluarkan tiga atau empat helai daun sebelum dipindahkan ke dalam polibeg dan ditempatkan dikawasan teduh.
Biarkan anak pokok mempahit itu tumbuh lebih besar sedikit sebelum ditanam di kawasan yang tidak terlalu teduh dan tidak terlalu terdedah. Mempahit ialah sejenis tumbuhan yang tahan lasak, lantaran itu memadai disiram sekali sehari.
Seperti kebanyakan pokok hutan yang lain, mempahit bernilai tinggi dari segi perubatan dan merupakan penawar untuk mengubati pelbagai jenis penyakit, antaranya ialah tekanan darah tinggi, diabetes, sakit jantung, demam dan disenteri.
Caranya ialah memamah buahnya, tidak kira sama ada yang masih muda ataupun yang sudah masak, sehingga hancur sebelum menelannya. Satu lagi kegunaan mempahit ialah dengan menggunakan buahnya sebagai ramuan untuk membuat makjun bagi mengubati penyakit serta memulihkan kesihatan.

No comments: