Sunday, June 28, 2009

Kapsul meladapahit dikomersial

UTUSAN MALAYSIA, 26 June 2009,
meladapahit


TAMPIN 25 Jun - Pengusaha ladang meladapahit, Abdul Razak Yassin, 65, mula memakan buah itu yang dikeringkan bagi mengubati penyakit darah tinggi setelah disyorkan bapa saudaranya kira-kira enam tahun lalu.

Lama-kelamaan, beliau beroleh idea untuk menghasilkan kapsul meladapahit secara komersial agar lebih ramai individu menerima manfaat daripada khasiat tumbuhan berkenaan.

Menurut Abdul Razak, setiap kapsul yang dipasarkan syarikatnya, Razak Meladapahit, mengandungi 90 peratus serbuk meladapahit kering serta 10 peratus serbuk jintan hitam.

''Individu yang mempunyai masalah kesihatan hanya perlu menelan sebiji kapsul sahaja setiap malam selepas makan," jelasnya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di Kampung Seri Gemencheh, Gemencheh dekat sini baru-baru ini.

Abdul Razak menambah, kesan perubahan dapat dirasakan dalam tempoh tiga hingga empat hari bergantung kepada tahap keseriusan penyakit individu berkenaan.

Beliau berkata, setiap botol Razak Meladapahit mengandungi 30 kapsul dan dipasarkan oleh beberapa ejen di sekitar negeri ini, Melaka, Shah Alam dan Selangor.

''Terlebih dahulu, saya memberi tiga kapsul secara percuma supaya pelanggan boleh menilai sendiri kesan perubahan terhadap tahap kesihatan mereka.

''Sebahagian besar pelanggan datang semula berjumpa saya malah ada yang berminat untuk menjadi pengedar Razak Meladapahit," jelasnya.

Abdul Razak memberitahu, orang ramai tidak perlu berasa was-was dengan kapsul Razak Meladapahit kerana ia didaftarkan dengan Kementerian Kesihatan.

Dalam pada itu, beliau berkata, pada masa ini, kapsul meladapahit diproses di rumahnya dengan tenaga kerja yang terdiri daripada ahli keluarganya sendiri.

''Sebuah syarikat dari luar negara berminat untuk mengetengahkan kapsul Razak Meladapahit di pasaran antarabangsa.

''Sekiranya persetujuan usahasama dimeterai antara dua pihak, sebuah kilang akan didirikan di sini bagi mengeluarkan kapsul meladapahit dalam kuantiti yang lebih besar," jelasnya.

Sehubungan itu, kata Abdul Razak, orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut tentang kapsul Razak Meladapahit boleh menghubungi beliau di talian 06-4316694 atau 012-2574082.

No comments: