Sunday, June 28, 2009

Khasiat buah meladapahit


ARKIB : 26/06/2009
Khasiat buah meladapahit

Oleh hussaini amran
utusanN9@utusan.com.my



Abdul Razak Yassin menunjukkan pokok meladapahit yang lebat berbuah di ladangnya di Kampung Tengah, Gemencheh, Tampin, baru-baru ini.

--------------------------------------------------------------------------------



TAMPIN 25 Jun - Meladapahit atau nama saintifiknya brucea amarissima pada asalnya tumbuh secara liar di kawasan hutan sekitar negara ini.

Khasiat buah meladapahit yang berbentuk bulat dikatakan berupaya merawat cirit-birit, demam, sakit sendi, penyakit kulit serta gigitan serangga berbisa.

Di samping itu, ia turut digunakan merawat penyakit-penyakit lain seperti asma, kencing manis, darah tinggi, malaria dan memulihkan tenaga selepas melahirkan anak.

Nilai perubatan yang tinggi pada buahnya mendorong seorang pesara guru, Abdul Razak Yassin, mengusahakan tanaman meladapahit secara intensif sejak 2003 dengan modal permulaan sebanyak RM10,000.

Abdul Razak, 65, berkata, kini beliau mengusahakan tiga ladang meladapahit dengan keluasan keseluruhan 4.86 hektar di Kampung Tengah, Gemencheh dekat sini.

Menurut beliau, setiap hektar tanah boleh ditanam antara 1,000 hingga 1,250 anak pokok meladapahit dalam satu-satu masa untuk menghasilkan kira-kira 25 kilogram buah setiap tuaian.

''Sebaik-baiknya anak pokok meladapahit ditanam di kawasan tanah berpasir yang ditumbuhi rumput supaya terlindung daripada sinaran matahari yang terik," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Tambah Abdul Razak, anak pokok meladapahit memerlukan penjagaan rapi dan sistematik sehingga mencapai ketinggian 0.3 meter.

Jelas beliau, selepas peringkat tersebut, penjagaan pokok meladapahit lebih mudah kerana ia tidak mempunyai sebarang musuh yang boleh memusnahkannya.

Katanya, pokok meladapahit mula mengeluarkan buah setelah sembilan bulan ditanam dan penuaian dilakukan kira-kira dua bulan kemudian.

''Buah meladapahit yang masak warna hijaunya lebih cerah jika dibandingkan dengan buah yang masih muda.

''Pokok meladapahit juga berupaya mengeluarkan buah sepanjang masa, bergantung kepada jenis baja yang digunakan," jelas Abdul Razak.

Beliau memberitahu, selok-belok menanam pokok meladapahit dipelajari melalui kursus yang diikutinya di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia di Kepong, Selangor.

''Pada mulanya, banyak anak pokok meladapahit yang mati. Kursus tersebut memberi pendedahan kepada saya tentang kaedah penanaman meladapahit yang betul," katanya.

Menurut Abdul Razak lagi, beliau tidak keberatan untuk berkongsi ilmu penanaman meladapahit kepada sesiapa sahaja yang berminat.

Beliau berkata, kursus penanaman meladapahit akan dimulakan setelah infrastruktur berkaitan siap dibina di ladangnya agar peserta dapat melalui proses pembelajaran dalam suasana selesa.

Kapsul meladapahit dikomersial

UTUSAN MALAYSIA, 26 June 2009,
meladapahit


TAMPIN 25 Jun - Pengusaha ladang meladapahit, Abdul Razak Yassin, 65, mula memakan buah itu yang dikeringkan bagi mengubati penyakit darah tinggi setelah disyorkan bapa saudaranya kira-kira enam tahun lalu.

Lama-kelamaan, beliau beroleh idea untuk menghasilkan kapsul meladapahit secara komersial agar lebih ramai individu menerima manfaat daripada khasiat tumbuhan berkenaan.

Menurut Abdul Razak, setiap kapsul yang dipasarkan syarikatnya, Razak Meladapahit, mengandungi 90 peratus serbuk meladapahit kering serta 10 peratus serbuk jintan hitam.

''Individu yang mempunyai masalah kesihatan hanya perlu menelan sebiji kapsul sahaja setiap malam selepas makan," jelasnya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di Kampung Seri Gemencheh, Gemencheh dekat sini baru-baru ini.

Abdul Razak menambah, kesan perubahan dapat dirasakan dalam tempoh tiga hingga empat hari bergantung kepada tahap keseriusan penyakit individu berkenaan.

Beliau berkata, setiap botol Razak Meladapahit mengandungi 30 kapsul dan dipasarkan oleh beberapa ejen di sekitar negeri ini, Melaka, Shah Alam dan Selangor.

''Terlebih dahulu, saya memberi tiga kapsul secara percuma supaya pelanggan boleh menilai sendiri kesan perubahan terhadap tahap kesihatan mereka.

''Sebahagian besar pelanggan datang semula berjumpa saya malah ada yang berminat untuk menjadi pengedar Razak Meladapahit," jelasnya.

Abdul Razak memberitahu, orang ramai tidak perlu berasa was-was dengan kapsul Razak Meladapahit kerana ia didaftarkan dengan Kementerian Kesihatan.

Dalam pada itu, beliau berkata, pada masa ini, kapsul meladapahit diproses di rumahnya dengan tenaga kerja yang terdiri daripada ahli keluarganya sendiri.

''Sebuah syarikat dari luar negara berminat untuk mengetengahkan kapsul Razak Meladapahit di pasaran antarabangsa.

''Sekiranya persetujuan usahasama dimeterai antara dua pihak, sebuah kilang akan didirikan di sini bagi mengeluarkan kapsul meladapahit dalam kuantiti yang lebih besar," jelasnya.

Sehubungan itu, kata Abdul Razak, orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut tentang kapsul Razak Meladapahit boleh menghubungi beliau di talian 06-4316694 atau 012-2574082.